Sudahkah kita bersedia?


Persiapan adalah salah satu perkara yang penting dalam membuahkan keberhasilan. Kerana sesuatu kejayaan itu sentiasa dimulai dengan usaha yang gigih dan persiapan yang cukup. Mendengar sahaja perkataan ‘ujian’, biasanya sebahagian daripada kita akan menduga dengan suasana yang tertekan atau erti kata lain stress, tegang, serta mengerikan terutama pada saat masa ujian semakin mendekat. Pernahkah kita mengalaminya?

 

Setiap manusia pasti akan menghadapi pelbagai ujian, bagaikan roller coaster. Ada kadangnya kita berasa megah di tempat yang atas, dan ada kadangnya kita berasa kecewa apabila di tempat yang bawah. Kedua-dua perkara ini adalah merupakan ujian bagi kita sebagai hamba Allah S.W.T di muka bumi ini, agar ia menjadi penilaian di kalangan kita dalam kualiti amal kita, melalui cara kita menghadapi ujian-ujian tersebut. Ujian daripada Allah S.W.T ini merangkumi seluruh hambaNya, yang taat mahupun derhaka terhadapNya. Justeru ujian terhadap hamba-hambaNya yang taat terhadapNya adalah lebih dahsyat berbanding dengan mereka yang ingkar.

 

Mengapakah kita sentiasa diuji olehNya?

Dengan firman Allah S.W.T: “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (Surah Al-Anbiya’, ayat ke-35)

Kita semua pasti akan diuji, diuji dengan kesusahan, kesakitan, kemewahan, kegagalan, kedudukan, kecantikan, kecacatan, dan berbagai kelebihan dan kekurangan di dalam kehidupan kita. Mungkin tidak sekarang, mungkin pada masa yang akan datang, sehinggalah kematian hadir menjemput.  Selepas menghadapi satu ujian, akan hadir pula ujian yang lain, dan seterusnya.

  • Sabar dan redha

Semua ujian ini mendidik kita agar sentiasa redha dan bersyukur dengan ketentuan Allah S.W.T. Kebanyakkan di kalangan kita berupaya untuk bersabar dan kuat dalam menghadapi ujian-ujian ini. Ingatlah, sentiasa redha dengan ketetapan Allah S.W.T, bersyukur dalam apa jua keadaan, dan bersabarlah dalam menghadapinya. Janganlah lalai dan lawan dengan nikmat yang dianugerahkanNya, agar terpelihara diri dari sifat derhaka terhadap Allah S.W.T. Sentiasa meningkatkan keinginan untuk beribadat dalam mensyukuri nikmat Allah S.W.T, dan memanfaatkannya ke jalan yang diredhaiNya, tanpa bersifat sombong, riak, ujub dan dengki, yang melekat pada diri kita. Ini adalah salah satu contoh dan hasil keadaan yang sedang dan akan dihadapi oleh kita semua dalam apabila kita diuji. Sungguh sukar untuk menghadapi dan lepas dari segala ujian ini, lebih lagi apabila kehidupan kita masih dan sedang dipenuhi dengan perkara-perkara yang tidak baik. Tingkatan keimanan kita semakin lemah, kefahaman Islam kita begitu rendah, serta amalan kita semakin kurang. Begitu kita perlu mengukuhkan dalaman kita, serta mendalami dan memahami Islam sesempurnanya.

 

 

Dengan izinNya, hasil dari kefahaman tersebut akan membina keyakinan yang kuat untuk terus tabah dalam menghadapi ujian-ujian kehidupan, serta redha dan tidak lalai terhadapnya. Sebagai contoh, apabila kita berusaha dengan gigih dalam mengulang kaji untuk sesuatu subjek, mesti kita inginkan keputusan yang cemerlang. Akan tetapi, kita mungkin saja memperolehi keputusan yang sederhana atau average. Allah S.W.T menguji kita sama ada kita menerimanya dengan niat yang baik iaitu bersyukur dengan pemberianNya, dan akan sentiasa mengetahui bahawa Allah S.W.T menyediakan pilihan yang terbaik buat kita. Dengan firmanNya: “…, dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu,” Kemudian Allah S.W.T tutup ayat ini dengan kalimat, “Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah, ayat yang ke 216)

  • Berdoa itu juga satu usaha

Yang penting, sentiasa berdoa dan ingat akan Allah S.W.T. Dia adalah tempat kita berharap, memohon, dan yang mengatur kehidupan kita semua. Yang memberikan keberhasilan dan kegagalan, dan yang mampu mengubah nasib seseorang itu. Doa adalah sumber dari segala kebaikan. Ia juga sumber kemenangan, penyelesaian, hidayah, dan juga taufiq (pertolongan) dalam segala aspek amal Islam, dakwah, ibadah, dan jihad. Iaitu jihad dalam menuntut ilmu, yang dituntut oleh Islam atas setiap penganutnya.

Sabda Rasulullah S.A.W: “Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali.” (Hadis riwayat muslim)

Salah satu kisah yang sering kali didengar dan membuktikan kepentingan ketaqwaan terhadap Allah S.W.T adalah kisah Nabi Nuh. Disebabkan oleh doa Nabi Nuh beserta orang-orang yang beriman bersamanya diselamatkan oleh Allah S.W.T, dan orang-orang kafir ditenggelamkan. Dengan firmanNya: “Lalu dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ini dikalahkan (oleh kaumku yang ingkar), oleh itu menangkanlah daku (terhadap mereka)! Maka Kami bukankan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air – mata air (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. Dan Kami bawa naik Nabi Nuh (beserta pengikut-pengikutnya) di atas (bahtera yang dibina) dari keping-keping papan dan paku; Yang belayar laju dengan pemeliharaan dan pengawasan Kami; (Kami melakukan yang demikian dan menimpakan taufan itu) sebagai balasan bagi orang-orang yang kufur ingkar!” (Surah Al-Qamar, ayat yang ke 10 hingga 14)

Ingatlah, sebagai seorang pelajar, kejayaan di dunia ini adalah gabungan dua perkara, iaitu usaha kita dan Allah S.W.T berikan bantuan serta kemudahanNya. Allah S.W.T mendidik kita sentiasa memiliki hati yang tenang, sifat yang positif, berusaha dan bertawakkal serta berdoa kepadaNya. Maka, dengan izinNya, Allah S.W.T akan memudahkan urusan kita.

  • Ibubapa mu jangan dilupakan!

 

Dan tidak lupa juga, sentiasa ingat akan redha terhadap orang yang berjasa besar dalam membentuk kehidupan kita, sejak dalam kandungan hinggalah ke dewasa, iaitu ibu bapa kita. Kehadiran mereka sangat tinggi dan mulia di sisi pandangan Allah S.W.T. Oleh kerana kedudukan mereka yang tinggi tersebut, Allah S.W.T memerintahkan setiap anak untuk menghargai mereka setelah Allah S.W.T. Sentiasa ingat, keredhaan ataupun kemurkaan Allah S.W.T kepada setiap anak manusia sangat ditentukan oleh keredhaan dan kemurkaan kedua ibu bapa.

Merekalah juga orang yang dengan kesabaran, dan penuh tanggungjawab menghadapi pelbagai ujian dalam mendidik dan menyampaikan ilmu mereka kepada kita dalam membentuk pendidikan yang kita lakukan. Mereka mengorbankan segalanya demi keberhasilan dan juga keberhasilan anak-anak yang dibimbing mereka. Sungguh tinggi pengorbaan mereka dalam menghadapi pelbagai ujian demi membimbing kita, untuk menjadi seorang anak yang soleh serta bertanggungjawab.

 

Dengan itu, apabila kita sentiasa menyedari dan mengingati hakikat ujian dalam hidup ini, itu semua adalah ujian daripada Allah S.W.T. Sentiasa bersifat rendah diri, tidak ego dan berlumba-lumba dalam mencapai nilai yang sebenar, yang agung di sisi Allah S.W.T, iaitu taqwa. Di kalangan kita pasti akan kembali menghadapi Allah S.W.T, serta menerima keadilan daripadaNya ke atas segala usaha dan niat kita semasa di dunia. Lambat laut, kita akan mengetahui bahawa hasil dari segala anugerah, kurniaan, dan kekurangan itu adalah ujian yang sebenarnya, yang sering direbuti, dihina serta direndah-rendahkan. Semua ini adalah penting untuk kita sedari, kerana ia membawa kepada natijah (keputusan) bagi syurga atau neraka. Ini adalah kemuncak dari segala-galanya, kerana di syurga, tiada akan lagi ada ujian. Di mana, nikmat itulah yang dinantikan oleh kita, dengan izinNya jua.

 

“Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu).” (Surah Al-A’raf, ayat yang ke 126)

 

Amin ya rabbal ‘alamin.

Muhammad ‘Atiq Bin Juani@Najrien

Leave a Reply